Rabu, Julai 11

Pelbagai gaya terjun dengan basikal



SALAH satu aksi seorang pemuda yang terjun bersama basikalnya.


BEIJING - Beberapa pemuda kelmarin menyertai aktiviti terjun dengan basikal ke dalam Tasik Timur di Wuhan, wilayah Hubei.

Para penunggang menunjukkan pelbagai gaya terjunan yang disaksikan oleh sejumlah penduduk tempatan.

Aktiviti itu dianjurkan oleh beberapa pengguna internet yang meminati sukan ekstrem. - Agensi

Ahad, Julai 1

'Jetman'

Terbang bagai seekor burung





IA hampir sama seperti adegan filem adi wira tetapi aksi Yves Rossy tidak melibatkan sebarang kesan khas.
Baru-baru ini, rakyat Switzerland yang dikenali sebagai Lelaki Jet itu mengejutkan penumpang sebuah pesawat vintaj apabila dia terbang bersama mereka pada kelajuan 205 kilometer sejam selama kira tujuh minit menggunakan sepasang sayap yang dipacu kuasa jet.

Walaupun bekas juruterbang berusia 53 tahun itu tidak lagi asing untuk aksi seperti itu, ini merupakan kali pertama beliau terbang bersebelahan pesawat penumpang, Douglas DC-3 ketika pesawat tahun 1940-an itu melintasi Tasik Lucerne di Switzerland. 

Untuk aksi terbaharunya pada Jumaat minggu lalu, dia terjun daripada sebuah helikopter pada ketinggian 6,000 kaki.

Semasa jatuh, bekas kapten Swiss International Airlines itu menstabilkan dirinya dengan sebuah beg sandang Kevlar karbon yang keras berupa sepasang sayap yang dilengkapi empat enjin jet yang dianggap sebagai sebahagian daripada tubuhnya.

Dia kemudian terbang pada ketinggian 4,500 kaki bersebelahan Douglas DC-3 dan boleh dilihat dengan jelas oleh penumpang kapal terbang dua kipas itu.
Apabila kehabisan minyak, Rossy membuka payung terjun dan mendarat di Lapangan Terbang Buochs, Nidwalden, tengah Switzerland. 

Menurut laman web Rossy, www.jetman.com, dia merupakan orang pertama dan satu-satunya manusia dalam sejarah yang terbang menggunakan sayap berkuasa jet. 

Kerjaya Rossy bermula sebagai juruterbang pesawat pejuang selama 18 tahun. Selepas itu, dia menjadi kapten bagi beberapa penerbangan komersial. 



SAYAP berkuasa jet membolehkan Rossy melakukan aksi seperti seekor burung di angkasa.



Laman web itu berkata, dia telah menghabiskan semua masa lapangnya untuk terbang dan bereksperimen dengan segala bentuk sayap yang akan membawanya terbang bebas di angkasa.

Rossy telah melintasi Banjaran Alps di Switzerland termasuk Tasik Geneva pada tahun 2002 dan pada 2008 dia menyeberangi Selat Inggeris. Kesemua rekaannya kini sudah diperhalusi supaya semuanya berada dalam keadaan selamat di samping alat kawalan yang kecil di tangannya.
Projek

Sayap itu bukan sahaja direka dan dimajukan oleh Rossy sendiri bagi membolehkannya terbang tetapi dia turut menguji alat itu sejak 11 tahun yang lalu.

Pada Jun 2004, Rossy berjaya menerbangkan sayap berenjin yang diletakkan di belakangnya selepas terjun daripada sebuah pesawat Pilatus pada ketinggian 4,000 meter.

Beberapa saat selepas itu Rossy mula membuka sayapnya dan menghidupkan enjin serta mengambil masa selama 30 saat untuk menstabilkan badannya.

Selepas berjaya mengawal sayap, Rossy akhirnya berjaya terbang pada ketinggian 1,600 meter dan meluncur beriringan dengan pesawat Pilatus pada kelajuan 180 kilometer sejam.

Sepanjang penerbangan selama empat minit itu, Rossy perlu menggerakkan badannya untuk mengemudi pergerakan sayap sama seperti yang dilakukan oleh seekor burung.

Sejak penerbangan sulung itu, Rossy telah terbang sebanyak lebih 50 kali. 

Projek Rossy itu memperoleh permit daripada Pejabat Persekutuan untuk Penerbangan Awam Switzerland (FOCA) dan dilindungi insurans. Projek itu ditaja oleh syarikat pembuat jam terkemuka Switzerland, Breitling.

Rossy gemar menggambar dirinya seperti seekor burung. "Saya tidak mempunyai bulu tetapi kadangkala saya berasa seperti seekor burung," katanya.

Bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan, Rossy berkata seseorang perlu mengambil masa selama beberapa tahun sebelum boleh terbang sepertinya.


Relaks

"Meluncur di udara adalah berbahaya dan rumit. Tetapi sebaik sahaja anda terbang, segalanya menjadi mudah," katanya kepada laman berita Jerman, Spiegel Online pada tahun 2008.

Menurut Rossy, perkara paling getir semasa berlepas ialah membetulkan sayap ketika berada di dalam kapal terbang sebelum terjun.

"Berat sayap itu kira-kira 55 kilogram. Selepas enjin dihidupkan, saya biarkan seketika supaya deruman enjin itu stabil kemudian barulah saya membuat lompatan. 

"Memang sukar untuk membetulkan kedudukan daripada jatuh menjunam kepada terbang secara mendatar dan dalam masa yang sama memecut enjin. Bagaimanapun, apabila sayap yang saya cipta ini betul-betul bagus dan mudah dikawal nanti, pada masa itu nenek saya pun boleh terbang," katanya ketawa 

Adakah seseorang memerlukan keadaan fizikal tertentu untuk menjadi Lelaki Jet? Ia hanya diperlukan pada permulaan, kata Rossy. 

"Ia sama seperti menyelam. Selagi anda tidak berada di dalam air, keadaannya sama seperti burung penguin yang berjalan terkedek-kedek di pantai. 

"Namun, sebaik sahaja masuk ke dalam air, semuanya berjalan lancar dan bersahaja. Saya terbang secara relaks, tanpa perlu mengerah otot dan tenaga. Hakikatnya, tubuh saya merupakan sebahagian daripada objek terbang," beritahu Rossy.

Ketika ditanya apa perasaannya dapat terbang seperti burung, Rossy menjawab dia betul-betul rasa bebas.

"Saya sudah terbang dengan bermacam jenis pesawat tetapi saya dikelilingi pelbagai peralatan yang perlu dikawal. Dengan sayap ini, seolah-olah saya sendiri sedang terbang," ceritanya yang tidak menganggap dirinya sebagai seorang kamikaze.

Bagaimanapun, Rossy hanya boleh berada di udara selama kira 10 minit. Selain kehabisan minyak, suhu panas enjin membuatkan tubuh Rossy berbahang apatah lagi dia perlu mengenakan sut lengkap sama seperti yang dipakai pemandu kereta lumba atau ahli pasukan bomba. - Agensi

-kosmo-

Sabtu, Jun 23

Pesawat solar

Pesawat solar rentas padang pasir



PESAWAT Solar Impulse yang dikendalikan oleh Andre Borschberg berlepas dari Rabat, Maghribi kelmarin.



RABAT, Maghribi - Sebuah pesawat yang menggunakan tenaga solar berjaya menamatkan penerbangan merentasi padang pasir di Maghribi semalam selepas berlepas dari Rabat kelmarin.

Pesawat buatan Switzerland, Solar Impulse yang dikendalikan seorang juruterbang, Andre Borschberg selamat mendarat di Ouarzazate, Maghribi 26 minit selepas tengah malam.


Ia merupakan pengembaraan peringkat akhir Borschberg, 59, yang bermula dari negara asalnya, Switzerland sebelum terbang ke Sepanyol dan berakhir di Maghribi.

"Pengembaraan kami menunjukkan terdapat cara lain untuk menjimatkan tenaga, menyelamatkan alam sekitar serta planet," katanya. 

Saiz sayap pesawat berteknologi tinggi itu menyamai panjang pesawat komersial Airbus A340. Namun, ia ringan seperti sebuah kereta.

Pesawat yang berada lebih 17 jam di udara itu dipacu empat motor elektrik yang dijana oleh 12,000 sel solar pada kedua-dua sayapnya. - AFP



Isnin, Jun 18

Pesawat Angkasa Lepas

Pesawat angkasa lepas AS mendarat tanpa juruterbang


Pesawat angkasa lepas AS mendarat tanpa juruterbang di Pangkalan Tentera Udara Vanderberg, California kelmarin.


LOS ANGELES - Sebuah pesawat angkasa lepas tanpa juruterbang milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS), X-37B mendarat di Pangkalan Tentera Udara Vandenberg di California kelmarin selepas 15 bulan berada di angkasa lepas.

Kapal angkasa itu berlepas dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral di Florida pada Mac tahun lalu.
Kapal angkasa seberat 4,989 kilogram dan panjang 8.8 meter itu dibina oleh syarikat Boeing.

Projek membina kapal angkasa itu telah bermula pada tahun 1999.

Ia dihantar ke angkasa lepas untuk menguji teknologi baharu tentera AS.

Projek rahsia itu telah mencetuskan spekulasi tentang peranan X-37B dalam tentera AS dengan sebahagian pendapat menyatakan ia akan digunakan untuk tujuan mengintip dan menghantar satelit kecil. 

Kapal angkasa itu direka bagi membolehkan ia berada di angkasa lepas selama 270 hari. - Agensi


Rabu, Jun 13

Penyerap Hentakan Basikal Gunung

Spit Udang Penyerap Hentakan (Suspension Fork)




Pada kebanyakan basikal gunung, Fork (Spit Udang) mengandungi satu set penyerap hentakan (Suspension), di mana kedua bilah Tiub  Fork berada didalam  tiub teleskop yang dipanggil “kaki” Fork. Setiap Fork menpunyai ciri-ciri pengendalian berbeza-beza mengikut keadaan laluan. Sebagai contoh, pengeluar menghasilkan Fork untuk cross-country (XC), menuruni bukit (Downhill), dan menunggang freeride. Fork yang direka untuk perlumbaan XC adalah biasanya lebih ringan, kurang mantap dan mempunyai ukuran penyerap hentakan (Travel) yang kurang daripada jenis Fork yang direka untuk keadaan permukaan bumi yang kasar, tinggi dan banyak lagi keadaan laluan lasak.

Pembuat terkenal Fork Penyerap Hentakan  ialah Cannondale, Fox, Manitou, MARZOCCHI, SR Suntour dan RockShox.


Rekaan Fork Penyerap hentakan telah maju dalam tahun-tahun kebelakangan ini dengan rekaannya menjadi semakin canggih dan pelbagai dalam reka bentuk. Ukuran penyerap hentakan yang ada telah meningkat dari masa ke masa. Apabila Fork penyerap hentakan telah diperkenalkan, 80-100 mm ukuran penyerap hentakan dianggap mencukupi untuk basikal gunung jenis turun bukit. Sekarang jumlah 80-100mm ukuran penyerap hentakan telah digunakan dalam XC, manakala untuk jenis turun bukit kini menawarkan 150 hingga 200 mm ukuran penyerap hentakan bagi mengendali kawasan yang melampau laluannya. Namun had ukurannya bukan sahaja sehingga 200mm tetapi masih ada yang lebih tinggi; sebagai contoh, MARZOCCHI Super Monster T menawarkan 300 mm (12 inci) Travel atau ukuran penyerap hentakan.

Ukuran Penyerap Hentakan bagi jenis basikal Downhill lebih tinggi




-Sumber wikipedia-Diolah/Diterjemah semula oleh Neo Cycle

Selasa, Jun 12

Tekaan Salah

Peminat Jerman gembira ramalan lembu tidak betul

LEMBU yang bernama Yvonne makan makanan dalam bekas yang mengandungi lukisan bendera Portugas di pusat penjagaan haiwan Gut Aiderbichl dekat Deggendorf, selatan Jerman pada Jumaat lalu.


BERLIN - Bolehkah seekor lembu menggantikan tempat sotong kurita, Paul sebagai haiwan terbaharu yang memiliki kebolehan menilik nasib pasukan bola sepak Jerman?

Peminat bola sepak Jerman gembira selepas lembu betina tersebut, Yvonne tersasar dalam ramalannya bahawa Jerman akan tewas kepada Portugal pada perlawanan Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012 di bandar Lviv, Ukraine, Sabtu lepas.

Yvonne popular di Jerman selepas haiwan tersebut melarikan diri dari sebuah ladang ternakan sebelum disembelih pada tahun lalu dan berkeliaran di negeri Bavaria tanpa dapat dikesan oleh pemiliknya, pemburu dan aktivis haiwan selama tiga bulan.

Haiwan itu membuat ramalan di pusat penjagaan haiwan Gut Aiderbichl dekat Deggendorf, selatan Jerman pada Jumaat lalu. 

Paul dapat meramalkan dengan tepat semua keputusan perlawanan pasukan Jerman sepanjang Piala Dunia 2010 termasuk kekalahan negara itu kepada Sepanyol di separuh akhir dengan memilih makanan daripada dua bekas di dalam akuarium.

Satu bekas tersebut mempunyai bendera Jerman manakala bendera pasukan lawan terdapat pada bekas yang lain.

Stesen radio Jerman, Bayern 3 melaporkan lembu tersebut ditawarkan makanan daripada dua bekas yang mengandungi makanan.

Haiwan tersebut kemudian memilih makanan daripada bekas yang mengandungi lukisan bendera Portugal. 

Pemilihan itu menyebabkan ia meramalkan kemenangan Portugal.

Namun, Jerman menang 1-0 dalam perlawanan tersebut.

Sejak kematian Paul ketika berusia sekitar tiga tahun pada 2010, peminat bola sepak Jerman masih mencari haiwan baharu yang mampu membuat ramalan dengan tepat bagi menggantikan sotong tersebut. - Reuters