Selasa 16 Nov 2010
JAGUH lumba basikal negara, Azizulhasni Awang yakin melangkah ke final acara pecut individu esok meskipun berdepan musuh ketatnya, Kitatsuru Tsubasa dari Jepun pada saingan separuh akhir hari ini.
Biarpun baru pulih daripada selesema, Azizulhasni tetap berjaya mempamer kayuhan bertenaga pada dua perlumbaan peringkat suku akhir dengan menewaskan pelumba Iran, Farshid Farsinejadian semalam.
Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu mencatat masa 10.781 saat pada perlumbaan pertama dan memenangi persaingan kedua dengan kepantasan 10.928s.
Catatan ini menyaksikan Azizulhasni, 22, muncul pelumba ketiga terpantas, sekali gus menempah pertemuan separuh akhir dengan pencabar terdekatnya, Tsubasa yang mencatat masa kedua terpantas dengan 10.754 pada perlumbaan pertama.
Biarpun mengakui kehebatan Tsubasa yang pernah mengalahkannya pada Kejohanan Trek Piala Asia (ACC) 2010 di Jepun, Jun lalu, pelumba yang bergelar The Pocket Rocket Man ini tetap optimis dengan peluangnya untuk menebus kekecewaan terlepas pingat emas pada kejohanan di Hokaiddo itu.
"Saya akui Tsubasa memang pelumba yang bagus dari segi kekuatan dan taktikal tetapi saya juga apa kurangnya," kata Azizulhasni dengan yakin selepas memenangi pusingan suku akhir di Velodrom Guangzhou semalam.
"Rekod pertemuan kami boleh dikatakan seimbang kerana saya pernah mengalahkannya dan dia juga pernah menewaskan saya, terbaru di ACC 2010 Jepun."
Sementara itu, kecemerlangan Azizulhasni gagal dijejak oleh pelumba wanita negara, Fatehah Mustafa apabila dia gagal melangkah ke pusingan suku akhir.
Pelumba berusia 21 tahun itu tewas kepada pelumba Korea Selatan, Kim Wong-yeong dalam dua perlumbaan, sekali gus mengecewakannya buat kali kedua selepas terlepas pingat gangsa dalam acara 500m kejar-mengejar indi- vidu Sabtu lalu.
Seorang lagi pelumba muda negara, Md. Edrus Yunos pula turut gagal menyerlah bagi penentuan tempat kesembilan hingga ke-12 acara tersebut apabila menamatkan saingan di tempat ke-11.
Bagi acara 400m kejar- mengejar berpasukan, kuartet negara turut terkandas pada pusingan pertama selepas tewas kepada Iran dengan masa 4 minit 18.596 saat.
Meskipun mencatat masa yang agak baik pada pusingan kelayakan iaitu di tempat keempat dengan 4:20.340s, kuartet yang dibarisi Adiq Husaini Othman, Amir Mustafa Rusli, Mohd. Akmal Amrun dan Mohd. Hariff Salleh terpaksa akur dengan kepantasan Iran yang merekodkan kepantasan 4:15.225s.
bagus...
BalasPadamsudah mula update blog..
tahniah!
update lg yea