KUALA LUMPUR - Tiada rakyat Malaysia yang cedera atau terkorban dalam bencana puting beliung yang melanda bandar Joplin, Missouri, Amerika Syarikat pada Ahad lepas.
Menurut kenyataan Wisma Putra, perkara itu dimaklumkan Konsulat Jeneral Malaysia di New York.
"Kedua-dua Kedutaan Besar Malaysia di Washington D.C dan Konsulat Jeneral Malaysia di New York sentiasa bersedia untuk memberi bantuan kepada rakyat Malaysia yang menghadapi masalah berikutan kejadian tersebut.
"Selain itu mereka juga sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa persekutuan dan negeri mengenai keadaan semasa di Missouri,'' katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga telah mengarahkan kedua-dua perwakilan Malaysia itu mencari dan mendaftarkan rakyat serta pelajar Malaysia yang berada di sana untuk memastikan keadaan mereka.
Dalam bencana itu, seramai 89 orang dilaporkan terkorban. Ia juga memusnahkan bangunan serta harta benda sepanjang laluannya sejauh 10 kilometer. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan