Selasa, Mei 22

Gerhana matahari cincin

Gerhana matahari di rantau Pasifik


KOMBINASI gambar yang menunjukkan pembentukan gerhana matahari di Tokyo, Jepun semalam.


HONG KONG - Orang ramai berkumpul di China, Jepun dan beberapa tempat lain di timur Asia semalam untuk melihat fenomena gerhana matahari cincin yang jarang berlaku.

Penduduk di sini dapat menyaksikan gerhana berkenaan buat seketika ekoran cuaca mendung.

Menjelang subuh, sekitar 3,000 orang melihat ke langit di sepanjang kawasan pelabuhan Tsim Sha Tsui di sini tetapi mereka cuma dapat melihat keajaiban alam itu selama 30 saat apabila awan mendung beredar sejurus selepas matahari terbit.

"Awan beredar dan sinaran matahari menyinari permukaan air, ia amat cantik," kata Kurator Muzium Angkasa Lepas Hong Kong, Chan Ki-hung.

Gerhana berkenaan dapat dilihat dengan lebih jelas di beberapa bahagian lain di China, Jepun dan Filipina apabila matahari kelihatan seperti sebentuk cincin kerana dihalang oleh bayang bulan.

"Ia seperti sebentuk cincin. Gerhana itu menyebabkan saya terkenang saat-saat melamar isteri saya pada suatu masa dahulu," kata Shigeru Seo yang menyaksikan gerhana itu bersama isterinya di Teluk Shiono, barat Jepun.
Keajaiban alam tersebut dapat dilihat di sepanjang pantai Jepun termasuk Tokyo, Nagoya dan Osaka.

Di kebanyakan kawasan di Jepun fenomena itu mencatatkan sejarah apabila gerhana matahari cincin berkenaan merupakan yang pertama dilihat oleh penduduk tempatan sejak 932 tahun dahulu. 

Selain Jepun, keajaiban alam itu turut disaksikan oleh berjuta-juta penduduk di rantau Pasifik dan Amerika Syarikat (AS).

Gerhana cincin berlaku apabila bulan melintasi matahari tetapi berada terlalu jauh dari Bumi untuk 'menenggelamkan' keseluruhan bayang matahari.

Kedudukan tersebut menyebabkan matahari kelihatan seperti cincin berapi.

Kali terakhir gerhana matahari cincin yang juga disebut gerhana matahari anulus berlaku di sini adalah pada tahun 1958.

Penduduk di sini ini perlu menunggu hingga tahun 2320 untuk menyaksikan gerhana matahari cincin seterusnya.

Gerhana itu berlaku petang kelmarin mengikut waktu AS.
"Ia mengagumkan," kata seorang pelajar, Marcos Dopoto di Albuquergue, New Mexico. 

Imej seperti cincin itu dapat dilihat selama lima minit di beberapa kawasan di dunia. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan