27 APRIL 2010
saphilla.isa@kosmo.com.my
saphilla.isa@kosmo.com.my
SEJAK empat tahun mengabdikan diri dalam sukan berbasikal, model yang satu itulah peneman setia Zulnizam Shahrani, 32.
Basikal gunung jenis LeRun itu hanya dibeli Zulnizam pada harga RM700, tetapi ia masih elok dan kuat walaupun telah ‘diuji’ di pelbagai jenis permukaan dan laluan berliku.
“Saya tidak menganggap sukan ini mahal. Dengan basikal yang murah juga saya buktikan boleh meneruskan minat berbasikal,” katanya mengenai harga basikal gunung yang boleh mencecah sehingga RM30,000 sebuah.
Jejaka dari Taiping, Perak itu secara perlahan-lahan menambah baik basikalnya dengan memperuntukkan sebanyak RM2,000.
“Jika saya ada duit lebih, saya ubah suai sedikit demi sedikit basikal saya. Antara yang telah diubah suai adalah tayar, rim, dan suspension mengikut jenis kayuhan yang dilakukan iaitu sama ada di bukit atau jalan biasa.
“Jika merentas hutan atau bukit, kebiasaan ukuran suspension yang digunakan pada basikal ini kurang daripada 4.5 inci. Basikal yang dirangka adalah mengikut ketahanan, dan lazimnya mengambil kira faktor berat dan kelajuan yang dimahukan,” katanya.
Anak kelima daripada lapan beradik yang pernah melibatkan diri dengan sukan pacuan empat roda dan motocross itu memang sukakan cabaran. Dia juga suka mencuba sukan yang baru. Walaupun Zulnizam kini lebih berfokus kepada sukan basikal gunung, namun dia masih menyertai rakan-rakannya dalam sukan pacuan empat roda dan motocross.
Menurutnya, aktiviti basikal gunung banyak memberi kelebihan kepada peminatnya. Ia bukan sahaja dapat membina kekuatan fizikal tetapi juga dapat menguatkan mental.
“Ia juga banyak memberi kelebihan dari segi kesihatan. Apa yang saya nampak orang yang mengalami strok di peringkat awal boleh pulih jika selalu mengikuti latihan mengayuh basikal,” ujarnya.
Melalui minatnya itu, Zulnizam menubuhkan kelab basikal gunung Selangormtb.com di bawah syarikat miliknya iaitu ADZ Auto Engineering. Dia menganjurkan kelab itu kerana ingin menarik minat anak muda menyertai sukan berbasikal.
Selain itu, Zulnizam yang bukan asing dalam pertandingan seperti Nibong Tebal Challenge dan Putrajaya Challenge Park itu memberitahu, di Selangor tidak banyak kelab yang memfokuskan sukan berbasikal berbanding di negeri lain.
“Syarikat ADZ sebelum ini lebih berfokuskan automotif, kini ia lebih kepada sukan basikal gunung. Atas minat terhadap sukan ini, saya menghasilkan program-program seperti Selangor Mountain Bike Challenge kepada peminat-peminat sukan ini,” jelasnya yang turut mengajar anaknya, Khasyaf Zulnizam, 10, melibatkan diri dalam aktiviti itu.
Kini, Selangormtb.com sudah menghimpunkan seramai 30 orang ahli kelab dengan kebanyakan daripadanya terdiri daripada rakan-rakan yang dikenali semasa Zulnizam melakukan latihan kayuhan.
Lokasi yang dimaksudkan itu adalah seperti di Saujana Utama, Sungai Buloh; Puncak Alam, Kuala Selangor; Bukit Kiara, Kuala Lumpur dan Putrajaya Challenge Park, Putrajaya.
Zulnizam selalunya akan membuat tinjauan tempat kayuhan terlebih dahulu sama ada selamat atau tidak sebelum melakukan program kayuhan hujung minggu kelabnya.
Bercakap tentang kenangan tertentu yang pernah dilalui sepanjang penglibatannya dalam sukan ini, Zulnizam memberitahu, ada beberapa insiden yang tidak dapat dilupakannya
“Selain insiden jatuh basikal yang sudah menjadi perkara biasa, saya pernah tersesat dalam hutan simpan Taiping semasa berkayuh dengan rakan-rakan. Saya tersalah haluan dan hampir dua jam mencari jalan keluar.
“Walaupun penat mengayuh tetapi saya tetap cuba mencari jalan keluar sebelum malam.
“Dalam pada itu, saya terfikir bagaimana kalau basikal saya rosak dan sebagainya,” katanya yang bersyukur apabila akhirnya ‘ujian’ tersebut berjaya dilepasinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan