TOKYO - Sebuah firma pembinaan Jepun mendakwa semalam ia mampu
melaksanakan rancangan luar biasa untuk meletakkan pelancong di angkasa
lepas dalam tempoh 40 tahun dengan membina sebuah lif setinggi 96,000
kilometer (km) atau suku jarak Bumi ke bulan.
Firma Obayashi Corp mendakwa lif itu boleh dibina dengan menggunakan
teknologi karbon nanotube yang lebih 20 kali ganda lebih kuat daripada
besi.
Menurut firma berkenaan, lif itu dapat membawa sehingga 30 penumpang
pada sesuatu masa dan bergerak pada kelajuan 200 kilometer sejam selama
seminggu sebelum berhenti di sebuah stesen pada jarak 36,000km.
Ketua projek itu, Satomi Katsuyama berkata, pelancong akan tinggal di
stesen berkenaan manakala kumpulan penyelidik dan pakar akan meneruskan
perjalanan.
"Manusia sejak dahulu lagi kagum dengan menara tinggi. Kami akan membina lif ini dari angkasa lepas dan bukan Bumi," katanya.
Walaupun Katsuyama yakin pelan tersebut akan berjaya, beliau belum
menetapkan anggaran kos, lokasi dan pembiaya bagi membina struktur
berkenaan.
Firma itu membina bangunan tertinggi di Jepun, Tokyo Sky Tree, yang setinggi 634 meter.
Antara penglibatan syarikat itu dalam pembinaan bangunan ialah Dubai
Metro di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Studio Universal Osaka, Jepun dan
Stadium Australia yang digunakan untuk Sukan Olimpik Sydney. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan