ZURICH - Meluncur di udara selaju 500 kilometer sejam, seorang lelaki
Switzerland merentasi Banjaran Alps di Eropah dengan menggunakan sut
sayap kelmarin.
Penerjun udara, Remo Laeng terjun dari sebuah pesawat pada ketinggian
7,500 meter dekat resort ski Verbier dan merentasi banjaran berkenaan
dari arah selatan.
Digelar 'lelaki burung' kerana keberaniannya meluncur di udara,
Laeng, 36, terbang selama empat minit sebelum melintasi puncak Gunung
Grand Combin setinggi 4,314 meter di barat daya Switzerland, sekali gus
merentasi banjaran Alps.
Agensi berita Switzerland, SDA melaporkan, dia meluncur sejauh 26
kilometer di udara sebelum mendarat dengan selamat di Aosta, Itali.
"Saya tidak mengambil risiko sebenarnya. Saya akan mengaktifkan
payung terjun jika sangsi percubaan ini akan berjaya," kata Laeng.
Sut sayap yang dihasilkan sekitar tahun 1990-an memiliki lapisan di
sekeliling badan pemakainya bagi membolehkan dia meluncur lebih lama di
udara sebelum payung terjun diaktifkan. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan