Terperangkap di beting pasir
26 Mac 2012
KUANTAN - Tanggapan bahawa kambing takutkan air mungkin tidak lagi
sesuai digunakan kerana kira-kira 30 ekor kambing dipercayai milik
penduduk Kampung Tanjung Selangor, Pekan, dilihat selesa turun bermain
air di beting pasir berhampiran Kuala Kampung Cherok Paloh, dekat sini,
semalam.
Kejadian yang dianggap pelik itu disaksikan sebuah keluarga dari
Kuantan yang kebetulan singgah berehat di tepi pantai berkenaan.
Bagaimanapun keasyikan mereka menyaksikan gelagat kambing itu bertukar
cemas apabila semua haiwan terbabit terperangkap di beting pasir
berikutan air pasang.
Moha Hazrul Hisham, 27, dari Bukit Setongkol, di sini, berkata, dia
bersama 10 ahli keluarganya singgah di pantai itu kira-kira jam 9 pagi
untuk berehat selepas penat mengayuh basikal dari Kuantan ke Kampung
Cheruk Paloh.
Menurutnya, mereka ternampak kumpulan kambing itu datang dari Tanjung
Selangor sebelum melintasi air cetek di beting pasir dan berjalan ke
kawasan yang agak jauh ke tengah.
“Kami sedari air mula pasang dan ternampak haiwan terbabit mula
berkumpul di satu kawasan dikelilingi air laut yang semakin dalam serta
berarus agak deras.
“Kami mula panik kerana bimbang kambing-kambing itu akan lemas, namun
beberapa nelayan yang melintasi kawasan itu bersama bot masing-masing
tidak mengendahkan kejadian yang berlaku,” katanya.
Moha berkata, atas dasar kemanusiaan, dia menghubungi Jabatan
Pertahanan Awam (JPAM) untuk meminta bantuan bagi menyelamatkan kambing
berkenaan memandangkan keadaan air semakin dalam.
Tiga anggota JPAM Pekan, Mohd Indra Iskandar Ramli, 21, Nor Faizal
Mohamad, 27, dan Abdul Syukur Ismail, 30, tiba di lokasi kira-kira jam
10 pagi sebelum cuba mendekati kawasan kambing yang terperangkap
menggunakan sebuah bot.
Kehadiran tiga anggota penyelamat itu seolah-olah tidak disenangi
kumpulan kambing terbabit apabila semuanya cuba melarikan diri dengan
berenang melintasi air yang agak deras untuk ke tebing arah Tanjung
Selangor.
Kejadian disaksikan dengan penuh debaran keluarga terbabit kerana
mereka tidak yakin haiwan itu mampu melepasi arus deras sejauh kira-kira
50 meter ke tebing.
Bagaimanapun, debaran mereka berakhir apabila kambing-kambing itu
berjaya sampai ke tebing dalam keadaan selamat, tetapi seekor anak
kambing tersasar dibawa arus, namun sempat diselamatkan tiga anggota
JPAM itu.
Bagi Mohd Indra, pengalaman menyelamat haiwan bukan kali pertama
baginya, namun kes kambing terperangkap dan nyaris lemas dalam air laut
tidak pernah dilalui selama dia berkhidmat dalam pasukan sukarela itu.
Menurutnya, mereka tetap memberikan respons terhadap semua aduan orang ramai walaupun kes kecemasan itu melibatkan haiwan.
“Bagi kami haiwan juga makhluk bernyawa dan perlu diselamatkan jika
berlaku kecemasan atau bencana, justeru kami nekad untuk menyelamatkan
kambing-kambing itu daripada lemas dihanyutkan arus,” katanya kepada
Sinar Harian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan