Rabu, September 7

Belut

Belut (Anguilliformes) merupakan sejenis haiwan spesies ikan yang mempunyai badan panjang tanpa anggota tangan atau kaki. Terdapat 4 suborser, 19 keluarga, 110 genus dan 400 spesies belut. Kebanyakannyamerupakan pemangsa.


Belut tinggal di dalam air, kebanyakannya di laut. Cuma keluarga Anguillidae tinggal di kawasan air tawar. Sesetengah belut suka bersempunyi di dasar laut (sehingga 4000 m bagi famili Synaphobranchidae), manakala yang lain rajin berenang.
 





SEKUMPULAN kanak-kanak mengangkat antara spesies belut air tawar sepanjang satu meter dan berat enam kilogram yang ditangkap penduduk kampung di Sungai Kitapol, Tuaran, Sabah, baru-baru ini. Belut itu yang dikenali sebagai ‘sinsilog’ dalam bahasa tempatan mempunyai bentuk tubuh bulat memanjang dan licin serta boleh ditemui di beberapa sungai di Tuaran, Penampang dan Kota Belud. Belut air tawar ini kaya dengan pelbagai khasiat dan dikatakan setanding dengan ikan tenggiri. Ia juga boleh membantu mengubati penyakit seperti buah pinggang, lelah, darah gemuruh, lemah tenaga batin dan penyembuhan luka pembedahan, selain menguatkan daya tahan tubuh, menyeimbangkan tekanan darah, menghaluskan kulit dan mencegah penyakit mata. - Foto Edmund Samunting (BH)


MASAKAN berasaskan belut mungkin masih dianggap pelik di kalangan masyarakat negara ini, malah ada juga yang ‘geli’ dengannya, namun bagi sesetengah orang ia dianggap juadah yang menyelerakan.

Kedai makan Warung Kak Yah di Jalan Sungai Lembing, Kuantan, Pahang, popular di kalangan masyarakat setempat dengan pelbagai jenis masakan berasaskan belut sama ada berkuah, rebus, goreng dan panggang yang menjadi sajian utamanya.




 
Warung Kak Yah yang diusahakan Mek Kiah Ismail, 51, mendapat perhatian peminat belut berikutan kedai berkenaan satu-satunya menyediakan belut kampung asli yang disaji mengikut resipi masakan kampung dan Thailand.

Antara masakan yang sering mendapat sambutan pelanggan di warung milik wanita gigih dari Kota Bharu, Kelantan itu ialah sup belut, tom yam belut, belut goreng kunyit, paprik belut dan belut panggang.


Menurut Mek Kiah, belut digemari sesetengah orang kerana bukan saja lazat, malah mengandungi kadar protein tinggi.

Katanya, menyediakan masakan belut sebenarnya mudah asalkan tahu rahsia ‘mengolah’nya kerana rasanya yang asli menjadikan belut mudah dikombinasikan dengan aneka bumbu dan makanan lain.

“Ramai geli dengan belut kerana fizikal haiwan ini yang licin, selain habitatnya di kawasan berlumpur dalam sawah dan paya. Namun mereka tidak menyedari sebenarnya belut memang sedap untuk dijadikan masakan apapun.

“Dengan kandungan gizi yang tinggi, tidak hairan jika semakin ramai orang menggemari masakan berasaskan belut,” katanya yang berniaga sejak 10 tahun lalu.

Mek Kiah berkata, dia juga hanya menyediakan belut kampung yang boleh dibezakan melalui belang hitam atau kuning di bawah perut haiwan itu.

Katanya, bekalan belut diperoleh daripada seorang penangkap belut sawah dari Pekan yang diambil setiap tiga hari bagi memastikan ia kekal segar untuk dihidangkan kepada pelanggan.

“Belut termasuk dalam kategori ikan berbentuk panjang dengan kepala bulat dan berinsang. Sungguhpun ramai tidak sudi makan belut, tetapi hidupan air tawar ini juga ada ramai peminatnya tersendiri.

“Ini kerana, belut mempunyai nilai tinggi apabila khasiatnya dikatakan setanding ikan tenggiri dan selar yang mengandungi banyak protein,” katanya.

Mek Kiah mendakwa, spesies ikan ini jika diamalkan memakannya selalu boleh menguatkan daya tahan badan, menstabilkan tekanan darah, menghaluskan kulit, mencegah penyakit mata, menguatkan daya ingatan dan membantu mencegah hepatitis.

“Ini kerana belut juga kaya dengan lemak, kalsium, vitamin B, vitamin D dan zat besi. Jadi, tidak hairan ramai percaya belut boleh membantu mengubati penyakit seperti buah pinggang, lelah, darah gemuruh, lemah tenaga batin dan penyembuhan luka pembedahan,” katanya.

Juadah belut yang disediakan Mek Kiah dijual pada harga berpatutan iaitu antara RM7 hingga RM8 setiap masakan. Selain belut, wanita ini menyediakan aneka masakan kampung asli yang pasti menggamit selera pelanggan.

Kedai makan itu beroperasi dari jam 4 pagi hingga 1 pagi yang menyediakan sarapan, makan tengah hari dan malam. Bagaimanapun, ruang kedai yang mampu memuatkan kapasiti 100 orang pada satu masa menjadi tumpuan menjelang tengah hari.

Ini kerana, selain lokasi strategik di tepi jalan utama dari pekan Sungai Lembing ke pusat bandar, ia menjadi perhentian rehat dan rawat oleh pengguna yang datang dari arah Lebuh raya Pantai Timur (LPT) Tol Kuantan.


Resipi Belut Goreng Kunyit

Bahan:
 
Belut (dipotong kecil)
2 biji bawang besar (dimayang bulat)
8 tangkai kacang panjang (dipotong panjang)
2 tangkai lada merah hidup (dipotong menyerong)
1 cawan minyak masak
2 sudu serbuk kunyit
Garam dan serbuk perasa


Cara membuatnya:

Belut yang sudah dipotong dilumur dengan serbuk kunyit dan digoreng garing. Selepas garing, angkat dan asing dalam pinggan lain.

Buang separuh minyak di dalam kuali. Tumiskan pula bawang merah, cili hidup dan kacang panjang. Tambah garam dan serbuk perasa sesedap rasa. Pastikan bahan tumisan tidak terlalu lembik.

Akhir sekali, masukkan belut yang digoreng tadi dan kacau semuanya hingga rata serta boleh dihias dengan daun sup atau bawang goreng.


Harga masakan berasaskan belut:
Ditentukan mengikut jenis masakan dan kuantiti antara RM7—RM8

Waktu operasi:
4 pagi hingga 1 pagi setiap hari

Alamat:
Kampung Padang, Jalan Sungai Lembing, Kuantan (bersebelahan kilang papan)
-hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan