Sabtu, Jun 11

96 pesilat terbaik sedia untuk bertempur



PERTARUNGAN melibatkan 96 pesilat berpengalaman akan merancakkan Kejuaraan Seni Silat Warisan Mahaguru di Universiti Teknologi Petronas, Seri Iskandar, Perak hari ini.



SERI ISKANDAR – Seramai 96 pesilat terbaik tempatan dan antarabangsa menunggu masa untuk bertarung dalam Kejuaraan Seni Silat Warisan Mahaguru di Dewan Besar Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini hari ini.

Pengarah kejohanan, Jak Othman berkata, mereka mewakili 14 pertubuhan silat seluruh negara dan antarabangsa untuk merebut gelaran pendekar.

“Gelanggang sudah tersedia dan kini hanya menunggu pesilat memasuki gelanggang untuk memulakan aksi pertarungan,” katanya ketika ditemui semasa meninjau persiapan terakhir kejohanan itu di sini semalam.

Menurut Jak, berdasarkan persiapan rapi setiap pasukan, beliau menjangka saingan sengit bagi keempat-empat kategori yang dipertandingkan iaitu bunga silat, serikandi, tempur tanpa senjata dan tempur dengan bersenjata.

“Orang ramai terutamanya penduduk setempat disaran tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan kejohanan yang menampilkan seni silat Melayu tulen.

“Saya jamin mereka akan mendapat pengalaman baru tentang seni silat yang sudah jarang ditampilkan,” katanya.

PSSPGM idam kuasai semua kategori

AKSI menarik pesilat PSSPGM yang akan menyertai Kejuaraan Seni Silat Warisan Mahaguru bermula hari ini.


IPOH – Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) mahu mengungguli dalam Kejuaraan Seni Silat Warisan Mahaguru yang bermula hari ini.

Jurulatih Kanan PSSPGM, Mohd. Khoharullah Raja Abdul Majid berkata, pihaknya telah mengatur strategi rahsia bagi mengatasi peserta lain.

“PSSPGM yakin dengan kemampuan pesilat yang bakal mewakili kami dalam kategori bunga silat, tempur tanpa senjata, tempur bersenjata dan serikandi.

“Kejuaraan dalam kejohanan itu ditagih kerana ia mampu menaikkan lagi nama pertubuhan silat ini bagi menarik lebih ramai golongan muda menyertai kami pada masa depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Bagaimanapun, Mohd. Khoharullah berkata, PSSPGM sedar saingan daripada para pesilat lain amat sengit kerana kebanyakan mereka mewakili pertubuhan silat terkenal dan mempunyai reputasi tinggi.

Menurutnya, Pertubuhan Seni Silat Cekak Harimau dari Pahang akan menjadi pencabar utama dan memberi saingan kepada pesilat mereka dalam pertandingan berkenaan.

Kejohanan jadi platform perkenal Persatuan Silat Anggerik Jingga


PERSATUAN Silat Anggerik Jingga bakal mempamerkan aksi seni silat yang tertua di Melaka.



MELAKA – Persatuan Silat Anggerik Jingga menganggap peluang mempamerkan aksi tangkas pesilatnya pada Kejuaraan Seni Silat Warisan Mahaguru 2011 mampu menarik minat lebih ramai individu untuk menyertai persatuan itu.

Anggerik Jingga dianggap istimewa dalam dunia persilatan kerana ia merupakan silat tertua di negeri ini malah susur galur silat itu adalah daripada lima hulubalang Melaka termasuk Hang Tuah.

Yang Dipertuanya, Nora Aman berkata, perkara tersebut menjadi antara faktor pengaruh silat tersebut dapat dikembangkan ke seluruh negara dan peringkat antarabangsa.

Menurutnya, antara kepakaran ahli silat Anggerik Jingga adalah dalam aspek bunga silat, tempur tanpa senjata dan tempur dengan senjata.

Tambah Nora, persatuan yang diasaskan empat tahun lalu oleh Allahyarham suaminya, Zailan Zainuddin kini bersedia menghadapi kejohanan yang diadakan buat julung kali itu.

“Kesemua lapan pesilat handalan kami telah bersedia menghadapi kejohanan itu hasil latihan yang diadakan sebanyak dua kali seminggu,” katanya.

Pesilat yang akan mewakili persatuan itu ialah Herman Ismail, Azlan Hashim, Muhammad Haziq Zailan, Muhammad Nazri Ghapar, Mohd. Izwan Mohd. Saleh, Nadim Abdul Aziz, Nurul Fahmi Abdul Ghafar dan Nor Syariha Nor Azaha.

15 guru silat berpengalaman jadi pengadil

SERI ISKANDAR – Bukan calang-calang juri yang akan mengadili Kejuaraan Seni Silat Warisan Mahaguru 2011 di Dewan Besar, Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini.

Pengarah kejohanan, Jak Othman berkata, barisan juri terpilih daripada 15 guru silat yang berpengalaman selama puluhan tahun dan diiktiraf Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).



“Aspek penjurian amat ketat kerana kita mahu hanya pesilat yang benar-benar mampu menonjolkan seni bela diri Melayu tulen dinobatkan sebagai juara.

“Dalam erti kata lain, setiap peserta perlu mempamerkan persembahan mantap yang menepati ciri-ciri pendekar Melayu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Ujarnya, aspek yang ditekankan adalah keaslian, kesenian, ketangkasan, adab masuk gelanggang, inovatif persembahan dan busana.

“Contohnya, jika pesilat itu mewakili persatuan silat yang berakar umbi daripada budaya Bugis, lebih baik jika berbusana seperti pendekar Bugis dahulu kala.

“Kita juga tidak mahu elemen seni bela diri luar seperti karate-do dan judo diselitkan dalam setiap persembahan peserta. Jika tidak penyertaan akan dibatalkan serta-merta,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan